Quote


Friday 20 March 2015

Cerpen Terbaik 2014






Saya biasanya agak ragu-ragu bila sesebuah buku itu mengaku (self-proclaimed) sebagai 'Terbaik'. Istilah terbaik, terbagus, terhebat, ter...ter...ter... itu sendiri membawa konotasi yang memerlukan pertanggungjawaban yang besar dan bukan sekadar gimik semata-mata.

Cumanya, untuk buku ini, apabila saya terbaca nama Wan Nor Azriq (penulis novel D.U.B.L.I.N yang bagi saya cukup menarik itu) sebagai penyunting, saya fikir saya perlu mencubanya.


Selesai membaca 18 cerpen-cerpen itu keraguan saya akan istilah terbaik itu masih tersisa, tetapi saya langsung tidak dikecewakan. Hampir semua cerpen-cerpen yang dimasukkan dalam antologi ini menawarkan pengalaman pembacaan yang memuaskan, malah sebahagian besarnya memang wajar diangkat sebagai berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Lebih mengembirakan saya, walaupun buku ini diterbitkan oleh FIXI yang lebih terkenal dengan karya2 bercorak pop, cerpen2 dalam antologi ini juga menyelitkan penulis-penulis yang biasanya dikategorikan sebagai penulis sastera serius arus perdana (paling mewakili tentulah S.M Zakir). Memasukkan dua buah cerpen berbahasa Inggeris juga bagi saya merupakan percubaan yang menarik untuk membuka tafsiran sastera Malaysia yang sering kali diperdebatkan itu.

Banyak cerpen-cerpen di dalam antologi ini yang saya suka, tapi paling menarik perhatian saya - tanpa mengetepikan kekuatan cerpen2 lain - ialah cerpen Gadis Basah (Laurent Metzger), Di dalam Mulutnya Ada Kota (Roslan Jomel), Anak-Anak Seni (Kamal Ishak), Perempuan yang Pulang ke Lautan (Johan Radzi) dan Best Keet Secret (Julya Oui).

Melihat kepada kepelbagaian dan mutu cerpen-cerpen yang diantologikan sebagai cerpen terbaik 2014 ini, saya percaya, antologi ini perlu diraikan oleh pembaca dan pada akhirnya saya bersetuju, sedikit gimik diperlukan untuk tujuan pemasaran dan mendekatkan pembaca daripada beberapa kutub yang dilihat bertentangan (indie, mainstream, bahasa melayu, bahasa inggeris) untuk sama-sama meraikan cerita-cerita dari nurani rakyat Malaysia (oh...saya tak pasti Lauretz Metzger itu rakyat Malaysia atau bukan - maafkan saya jika terkhilaf).

Untuk FIXI, teruskan usaha yang baik ini.

Saturday 7 March 2015

Manusia



Sering waktu, ketika saya tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas, saya terfikir "makhluk apakah manusia ini?".

Mungkin waktu itu saya terfikir tentang betapa degilnya manusia bertarung untuk hidup. Semangat survival ini, umpamanya, sanggup bersesak berjam-jam di jalan raya semata-mata untuk ke tempat kerja atau menuju ke sesuatu destinasi kerap meresahkan saya.

Semangat survival manusia memang mengkagumkan. Manusia-manusia purba sanggup berhadapan dengan alam (binatang buas, bukit bukau, padang lautan, panas dingin, hujan kemarau salju) semuanya ditempuhi manusia semata-mata untuk meneruskan kehidupan. Walau manusia itu tahu, pada akhirnya dia akan Mati!

Benar, manusia juga mempunyai kecenderungan memusnahkan dirinya. Peperangan telah membunuh berjuta jiwa. Tidak ada makhluk lain yang saling berbunuhan dalam kapasiti sebesar itu. Manusia bermusuhan sesamanya. Manusia berbunuhan sesamanya. Tapi siapa bisa menafikan manusia juga mempunyai kecenderungan menjadi lebih baik.

Manusia mencipta masyarakat, mencipta undang-undang, mencipta teknologi, mencipta ubat-ubatan, mencipta cara dan sistem untuk membolehkan mereka kekal di muka bumi ini, dengan cara yang lebih baik.

Semangat survival itu nyata telah membawa manusia dan keturunannya sampai ke hari ini. Hari dan zaman di mana manusia telah hampir sepenuhnya menguasai alam. Hari dan zaman di mana manusia menjadi populasi terbesar di muka bumi ini. 6 bilion jiwa.

6 bilion...dan terus bertambah.

Dengan segala kesengsaraan yang ditempuhi manusia sejak mula tiba di bumi, semangat untuk terus hidup seakan satu jawapan Tuhan kepada makhluk-makhluk lainnya kenapa mereka diperintah sujud kepada Adam yang hanya bertangan dua berkaki dua dan sangat lemah itu.

Hari ini saya kira makhluk-makhluk lain itu tak akan lagi bertanya "kenapa Kau ciptakan Manusia?" Tapi kali ini mungkin sahaja pertanyaan mereka ialah "Sampai bilakah kau akan terus menciptakan Manusia?".

Ya, sampai bila?