Quote


Sunday 18 January 2015

Nobuvila



Semalam sejak dari jam 9.00 malam saya menonton TV. Anugerah Juara Lagu ke 29 mencuri malam Ahad saya. Rancangan berakhir jam 12.00 malam. Selepas itu ada rancangan langsung bolasepak dari kota yang jauh tetapi didekatkan teknologi. Pasukan kegemaran saya Arsenal (bukan kampung asal saya) berlawan dengan Manchaster City. Perlawanan tamat sekitar jam 2.00 pagi.

Dari jam 9.00 malam ke jam 2.00 pagi hidup saya dihabiskan di depan TV. Lima jam. 

Apakah kehidupan moden membenarkan kita membazirkan masa sebegitu lama di depan TV?

Orang-orang yang praktikal dalam hidup, pakar-pakar motivasi dan penasihat kewangan pastinya akan menasihatkan saya agar menggunakan masa 5 jam itu untuk melakukan sesuatu yang lebih bermanafaat.

Berniaga on-line contohnya, bersenam contohnya, atau juga belajar memasak, mengemas rumah, mencuci bilik mandi, membaca buku ilmiah, membaca kitab suci jikapun tidak berniaga di pasar malam, membuat kuih untuk dijual atau 1001 perkara ‘bermanafaat’ lagi yang boleh dibuat.

Tapi apakah bersenang-senang, contohnya menghabiskan masa`5 jam di depan TV adalah satu dosa?

Mungkin Ya.

Dalam tradisi Kristian, malas (sloth) adalah salah satu dari 7 dosa besar. Manakala dalam Islam, malas dianggap satu jenis penyakit hati yang amat merosakkan.

Tapi malas juga merupakan punca motivasi manusia untuk mencipta. Jangan lupakan mesin basuh, paip air dan dapur gas; ciptaan-ciptaan itu asalnya bertujuan membolehkan manusia punya lebih banyak masa untuk bersenang-senang.

Dan lagi, apakah yang boleh diumpamakan dengan ghairah jiwa mendengar lunak suara dan muzika anugerah nyanyian itu? Apakah yang boleh ditandingkan dengan kepuasan hati melihat pasukan Arsenal membolos 2 gol Manchester City?

Saya ada satu rahsia; buku pertama saya beli dalam hidup ialah sebuah buku cerita bertajuk “Awang Pemalas”.  Si Awang dalam cerita ini sangat pemalas dan hanya tahu tidur baring tanpa berbuat apa-apa. Menariknya dalam buku itu, si Awang yang pemalas itu akhirnya berkahwin puteri raja. Wah! 

Emak saya menggeleng “dalam banyak-banyak buku, buku tentang awang pemalas kau beli?”

Sampai ke hari ini saya masih hairan, apakah yang menyebabkan saya sewaktu kecil itu tertarik hati membeli sebuah buku tentang seorang pemalas. Tarikan intelek, tarikan genetik, tarikan rohani?

Ironisnya, untuk membeli buku pertama dalam hidup itu, saya berjalan kaki lebih 5 kilometer dari rumah ke sekolah di mana jualan buku itu diadakan. 

Sungguh pemalas  bukan!

* Nobuvila bermaksud malas dalam bahasa Zulu...diulang, bahasa Zulu!
(sumber: google translator)

Sunday 11 January 2015

Yang mudah, yang sempurna







Kebetulannya hari itu saya terajin membaca komen-komen pada satu link berita on-line yang disambungkan ke dinding facebook saya.
 
Saya jarang sebenarnya membaca komen-komen di berita on-line, kekadang dek kerana tidak mahu membazirkan masa, kekadang yang lainnya kerana bosan dengan bahasa maki-makian yang banyak digunakan untuk menyampaikan fikiran masing-masing. 

Komen-komen pengguna media sosial yang saya baca hari itu terarah pada pada satu link berita on-line berkaitan isu perundangan hudud yang diusahakan untuk dilaksanakan di Kelantan. Mata saya terbaca satu komen tertulis “hudud itu hukum Allah, siapa tak sokong hudud dilaksanakan di Kelantan maka sesat dan murtadlah dia”. Lebih menarik komen itu di’like’ oleh berpuluh-puluh orang lainnya yang menandakan - dalam bacaan semantik facebook - sokongan padu kepada kenyataan itu.

Saya tertarik dengan kenyataan itu. Tertarik bukan kerana komen itu menyebelahi pandangan yang menyokong atau menentang isu tersebut, tetapi tertarik bahawa, si penulis dengan begitu autoritatif, dan dengan bahasa yang tidak menawarkan sebarang kompromi, telah menyimpulkan seluruh perbahasan ahli akademik, ulama, intelektual masyarakat, ahli perundangan, ahli politik malah wacana masyarakat sivil yang telah dan sedang berlangsung ke dalam satu ungkapan yang ringkas, jelas dan padat.

Begitu mudah. Begitu pasti. Begitu sempurna.

Kita memang mudah tertarik dengan sesuatu yang jelas seperti itu. Dialog yang terus menerus, pandangan yang pelbagai, perbicaraan yang abstrak sering menjemukan kita. Generasi hari ini adalah generasi yang memerlukan sesuatu dengan segera. “I want it and I want it now” kata seorang pemerhati sosial dalam membicarakan kecenderungan generasi hari ini.

Tapi benarkah yang mudah, yang padat, yang nampak sempurna itu adalah yang terbaik dalam mengatur masyarakat yang beragam, dalam mencari kaedah terbaik yang mampu membawa kita pada kebahagian; dan kebenaran.

Kita ragu-ragu tentang itu. Kamal Attartuk pernah mencuba hal itu. Turki yang sekular adalah penyelesaian kepada semua masalah yang membelenggu masyarakat Turki, katanya. Hapuskan pengaruh, budaya dan sistem pemerintahan Islam dari bumi Turki. Hapuskan kenang-kenangan empayar Uthmaniah. Akhirnya kita melihat Turki yang seakan terencat tanpa masa silam. Pemerintah terpaksa menjadi autokratik untuk menegakkan ideologi yang dipercaya itu. Turki gagal menjadi Eropah totok. Kaki kiri Turki yang di timur dan kaki kanannya yang di eropah rupanya lebih mengasyikkan dan sesuai dengan jiwanya. Pada akhirnya, masyarakat Turki kembali rindu kepada akar diri, perlahan-lahan Turki mencari asal-usul dan ideologi sekular ala Kemalist itu seakan menjadi sejarah yang tidak indah bagi Turki.

Presiden Bush juga mencuba kaedah yang sama sebelum menyerang Iraq – sama ada anda bersama kami, atau bersama mereka – Presiden yang berwajah lucu itu memberi kata dua kepada dunia. Tidak ada perbincangan, tidak ada wacana, tidak ada apa-apa. Dunia seolah dibawa kembali ke era Barbarian. Hasilnya, hari ini Iraq lebih kalut daripada 10 tahun dahulu. Timur Tengah malah semakin bergolak. Dunia tidak lebih aman. ‘Kami dan mereka’ rupa-rupanya sama-sama membayar harga yang mahal.

Apakah ada sesuatu yang patut kita belajar dari itu?

Masihkan seungkap kata yang mudah, yang padat yang autoritatif itu jadi menawan?

2015, dan kita punya banyak sejarah yang boleh dipelajari. Salah satunya bahawa satu ungkapan yang kedengaran mudah, jelas dan menawan itu bukanlah selalunya benar.

Ungkapan sebegitu biasanya menawarkan satu jalan sahaja – kediktatoran.

Thursday 8 January 2015

Putrajaya; antara jiwa dan kuasa


Sudah hampir 8 tahun rupanya saya memesrai kota ini. Kota yang sinonim dengan ‘kuasa’. Kota yang menjadi pusat dekri keputusan-keputusan penting untuk sebuah negara yang kita panggil Malaysia. Tapi benarkah hanya ‘kuasa’ bisa mendefinisakan sebuah kota?

Rom mungkin merupakan induk bagi kota-kota yang memakai nama kota kuasa. Selama lebih seribu tahun Rom diberi gelari Caput Mundi (capital of the world). Di sana lahirnya tamadun yang gagah itu, yang menjadi pemula kepada tamadun barat itu. Di sana lahirnya Caesar yang agong itu. Kota Rom sebagai pusat kuasa memanglah mengkagumkan, tapi Rom bukanlah semata-mata pusat kuasa. Rom juga adalah pusat budaya, pusat intelektual & pusat kerohanian tamadun barat.

Putrajaya masih jauh daripada menjadi pusat budaya, pusat kerohanian dan pusat intelektual tamadun ini. Kuala Lumpur masih jauh terkedepan. Putrajaya tika ini cuma boleh berbangga dengan keindahan arkitektur bangunan-bangunannya dan juga, sekali lagi – kuasa.

Tika ini jiwa Putrajaya masih kosong, masih banyak yang belum terisi. Untuk menjadi seorang laki-laki sempurna, yang diperlukan bukan saja kekuatan fizikal tetapi juga kekuatan jiwa, kebesaran nurani. Putrajaya perlu mengisi kekosongan jiwanya. Jiwanya perlu diisi dengan seni, dengan sastera, dengan ilmu dan dengan rohani.

Kota ini damai. Taman-tamannya indah. Sistem jalanrayanya bagus; luas dan lapang. Kawasan perumahannya disusun kemas. Gerak kerja perbandarannya teratur. Putrajaya punya tasik-tasik yang menenangkan dan mendamaikan. Tapi kita tahu untuk sebuah kota mempunyai jiwa, ia perlukan lebih daripada itu. Kita perlukan manusia-manusianya.

Yang perlu mengisi semua itu adalah warga Putrajaya sendiri. Tiada guna jika jiwa yang sebegitu berharga diisi dengan produk-produk import yang sangat artifisial sifatnya. Warga Putrajaya harus secara berdikit membina ‘jiwa’ Putrajaya itu sendiri.

Soalnya adakah warga Putrajaya mahu melakukan itu? Atau soal yang lebih penting adakah Putrajaya mempunyai warganya untuk membina semua itu? Siapakah dengan pasti bisa berkata bahawa dia adalah warga Putrajaya? Ataukah Putrajaya sememangnya tidak punya warga kecuali ‘kuasa’?


Friday 2 January 2015

Pada mula adalah kata



















Bahasa mungkin hadiah Tuhan paling bermakna kepada manusia. Tulisan pula mungkin sekali ciptaan paling hebat manusia.

Dengan bahasa manusia menyatakan dirinya. Dengan tulisan manusia mengabadikan dirinya.

Dan di antara keduanya, diciptaNya juga manusia yang cinta pada bahasa dan tulisan.

Saya harap saya salah seorang darinya.