Kebetulannya hari itu saya
terajin membaca komen-komen pada satu link
berita on-line yang disambungkan ke
dinding facebook saya.
Saya jarang sebenarnya membaca
komen-komen di berita on-line,
kekadang dek kerana tidak mahu membazirkan masa, kekadang yang lainnya kerana
bosan dengan bahasa maki-makian yang banyak digunakan untuk menyampaikan
fikiran masing-masing.
Komen-komen pengguna media sosial
yang saya baca hari itu terarah pada pada satu link berita on-line
berkaitan isu perundangan hudud yang diusahakan untuk dilaksanakan di Kelantan.
Mata saya terbaca satu komen tertulis “hudud itu hukum Allah, siapa tak sokong
hudud dilaksanakan di Kelantan maka sesat dan murtadlah dia”. Lebih menarik
komen itu di’like’ oleh
berpuluh-puluh orang lainnya yang menandakan - dalam bacaan semantik facebook -
sokongan padu kepada kenyataan itu.
Saya tertarik dengan kenyataan
itu. Tertarik bukan kerana komen itu menyebelahi pandangan yang menyokong atau
menentang isu tersebut, tetapi tertarik bahawa, si penulis dengan begitu autoritatif,
dan dengan bahasa yang tidak menawarkan sebarang kompromi, telah menyimpulkan
seluruh perbahasan ahli akademik, ulama, intelektual masyarakat, ahli
perundangan, ahli politik malah wacana masyarakat sivil yang telah dan sedang
berlangsung ke dalam satu ungkapan yang ringkas, jelas dan padat.
Begitu mudah. Begitu pasti.
Begitu sempurna.
Kita memang mudah tertarik dengan
sesuatu yang jelas seperti itu. Dialog yang terus menerus, pandangan yang
pelbagai, perbicaraan yang abstrak sering menjemukan kita. Generasi hari ini
adalah generasi yang memerlukan sesuatu dengan segera. “I want it and I want it now” kata seorang pemerhati sosial dalam
membicarakan kecenderungan generasi hari ini.
Tapi benarkah yang mudah, yang
padat, yang nampak sempurna itu adalah yang terbaik dalam mengatur masyarakat
yang beragam, dalam mencari kaedah terbaik yang mampu membawa kita pada
kebahagian; dan kebenaran.
Kita ragu-ragu tentang itu. Kamal
Attartuk pernah mencuba hal itu. Turki yang sekular adalah penyelesaian kepada
semua masalah yang membelenggu masyarakat Turki, katanya. Hapuskan pengaruh,
budaya dan sistem pemerintahan Islam dari bumi Turki. Hapuskan kenang-kenangan empayar
Uthmaniah. Akhirnya kita melihat Turki yang seakan terencat tanpa masa silam.
Pemerintah terpaksa menjadi autokratik untuk menegakkan ideologi yang dipercaya
itu. Turki gagal menjadi Eropah totok. Kaki kiri Turki yang di timur dan kaki
kanannya yang di eropah rupanya lebih mengasyikkan dan sesuai dengan jiwanya. Pada
akhirnya, masyarakat Turki kembali rindu kepada akar diri, perlahan-lahan Turki
mencari asal-usul dan ideologi sekular ala Kemalist itu seakan menjadi sejarah
yang tidak indah bagi Turki.
Presiden Bush juga mencuba kaedah
yang sama sebelum menyerang Iraq – sama
ada anda bersama kami, atau bersama mereka – Presiden yang berwajah lucu
itu memberi kata dua kepada dunia. Tidak ada perbincangan, tidak ada wacana,
tidak ada apa-apa. Dunia seolah dibawa kembali ke era Barbarian. Hasilnya, hari
ini Iraq lebih kalut daripada 10 tahun dahulu. Timur Tengah malah semakin
bergolak. Dunia tidak lebih aman. ‘Kami
dan mereka’ rupa-rupanya sama-sama
membayar harga yang mahal.
Apakah ada sesuatu yang patut
kita belajar dari itu?
Masihkan seungkap kata yang
mudah, yang padat yang autoritatif itu jadi menawan?
2015, dan kita punya banyak
sejarah yang boleh dipelajari. Salah satunya bahawa satu ungkapan yang
kedengaran mudah, jelas dan menawan itu bukanlah selalunya benar.
Ungkapan sebegitu biasanya
menawarkan satu jalan sahaja – kediktatoran.
No comments:
Post a Comment