Sudah hampir 8 tahun rupanya saya
memesrai kota ini. Kota yang sinonim dengan ‘kuasa’. Kota yang menjadi pusat
dekri keputusan-keputusan penting untuk sebuah negara yang kita panggil
Malaysia. Tapi benarkah hanya ‘kuasa’ bisa mendefinisakan sebuah kota?
Rom mungkin merupakan induk bagi
kota-kota yang memakai nama kota kuasa. Selama lebih seribu tahun Rom diberi
gelari Caput Mundi (capital of the
world). Di sana lahirnya tamadun yang gagah itu, yang menjadi pemula kepada
tamadun barat itu. Di sana lahirnya Caesar yang agong itu. Kota Rom sebagai
pusat kuasa memanglah mengkagumkan, tapi Rom bukanlah semata-mata pusat kuasa.
Rom juga adalah pusat budaya, pusat intelektual & pusat kerohanian tamadun
barat.
Putrajaya masih jauh daripada
menjadi pusat budaya, pusat kerohanian dan pusat intelektual tamadun ini. Kuala
Lumpur masih jauh terkedepan. Putrajaya tika ini cuma boleh berbangga dengan
keindahan arkitektur bangunan-bangunannya dan juga, sekali lagi – kuasa.
Tika ini jiwa Putrajaya masih
kosong, masih banyak yang belum terisi. Untuk menjadi seorang laki-laki sempurna,
yang diperlukan bukan saja kekuatan fizikal tetapi juga kekuatan jiwa, kebesaran
nurani. Putrajaya perlu mengisi kekosongan jiwanya. Jiwanya perlu diisi dengan
seni, dengan sastera, dengan ilmu dan dengan rohani.
Kota ini damai. Taman-tamannya indah. Sistem jalanrayanya bagus; luas dan lapang. Kawasan perumahannya disusun kemas. Gerak kerja perbandarannya teratur. Putrajaya punya tasik-tasik yang menenangkan dan mendamaikan. Tapi kita tahu untuk sebuah kota mempunyai jiwa, ia perlukan lebih daripada itu. Kita perlukan manusia-manusianya.
Yang perlu mengisi semua itu
adalah warga Putrajaya sendiri. Tiada guna jika jiwa yang sebegitu berharga
diisi dengan produk-produk import yang sangat artifisial sifatnya. Warga
Putrajaya harus secara berdikit membina ‘jiwa’ Putrajaya itu sendiri.
Soalnya adakah warga Putrajaya
mahu melakukan itu? Atau soal yang lebih penting adakah Putrajaya mempunyai
warganya untuk membina semua itu? Siapakah dengan pasti bisa berkata bahawa dia adalah
warga Putrajaya? Ataukah Putrajaya sememangnya tidak punya warga kecuali ‘kuasa’?
Ok...dah ada blog...tahniah!
ReplyDeleteTq tq
Delete