Quote


Friday 24 April 2015

Sedikit Pelajaran Yang Praktis Tentang Hidup



Hidup ini pada zahirnya adalah pekerjaan yang banal. Kita adalah sisipus yang menolak batu ke puncak bukit, berulang-ulang. Tapi di sebalik semua yang banal itu, di balik semua yang membosankan itu, kita seakan disistemkan untuk menerimanya, meredahnya, mencari makna di sebaliknya. 


Kita diajar percaya gelak ketawa mampu menghilangkan sepi di dada. Lalu kita cari cara untuk ketawa. Dan kitapun ketawa, ketawa dan ketawa. Tapi, seketika kemudian kita sedar, masih ada kekosongan jauh di dalam. Jauh di dalam satu ruang yang tak terpenuhkan dengan gelak ketawa kita. Seperti telaga yang kering, kita mendengar ada gema yang berulang-ulang jauh di dasarnya. Gema yang mengingatkan kita bahawa kesedaran kita tentang diri kita juga masih kering, masih kosong, masih lompong. Lalu kita sedar, waktu itu yang kita perlu adalah lebih daripada ketawa. Kita perlukan makna yang lebih dalam. Makna yang mungkin akan mampu mengisi telaga kering itu.

Dan kitapun cuba mencarinya di sela-sela bahasa. Bahasa yang mampu mengingatkan kita kembali bahawa tak semua jalan harus menuju ke titik yang sempurna. Ada sesuatu tentang ketidaksempurnaan yang akan terus mampu membuat kita hidup dengan senyuman, bahkan betapa tipispun senyuman itu, dan dengan senyum itu kita mampu terus waras. 

Dan untuk sedikit tersenyum itu, kita harus mampu untuk mentertawakan ketidaksempurnaan itu. Kita harus belajar mencebiknya, membencinya tapi pada masa yang sama menerimanya sebahagai sebahagian dari takdir kita. Kita harus menerima bahawa kehidupan ini adalah ulangan-ulangan paradoks yang grandeur.

Dan selepas ketawa itu, kita kembali kosong, dan kita kembali mencari makna, untuk tersenyum kembali setidaknya sehingga kita tidur dan melupakan mimpi.


Sedikit Pelajaran Yang Praktis Tentang Hidup

Tekan
pedal minyak. Lupakan
sarapan. Jam
di dinding, matikan.
Jangan
berleter tentang
siaran tv. Tulis blog,
tulis status
facebook, dunia akan
aman. Takutlah
pada huruf, takutlah
pada sajak. Bahasa
akan campakkan
kau ke neraka. Jangan
ketawa, siaran jenaka
takkan selesai. Ada
benar di
tidur. Ada
benar di pil
perancang. Bila
kamu mimpi, mimpikan
anak-anak ikan,
puteri duyung,
dan superman. Bila
kau jaga, lupakan,
lupakan. Ingat
cuma pedal
minyak, baju
pejabat dan wang
gaji. Takutlah
pada sajak. Jangan
ketawa. Siaran
jenaka  belum
tamat.



April 2015

No comments:

Post a Comment